24.10.13

Kenapa Tasawuf Terabaikan Dari Samudra Ilmu


Firman Allah Taala:
`Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku ridai Islam itu jadi agama bagimu’ (Al Maaidah:3)
Apabila turunnya ayat di atas bererti sempurnalah Sunnah Rasulullah saw – Syariat, Takrifat, Makrifat dan Hakikat. Lengkaplah seluruh ilmu dan lautan zahir dan batinnya. Sebahagian tersimpan teguh di dada para Sahabat utama sehingga mana-mana sahabat adalah model ikutan. Sabda Rasulullah saw:
‘Para Sahabatku umpama bintang-bintang, mengikut yang mana pun kamu akan mendapat petunjuk’
Nabi Muhammad saw sendiri adalah sumber kesempurnaan. Baginda saw lah model ikutan pada sepanjang zaman, Nabi dan Rasul untuk seluruh umat manusia sejak Adam as sehinggalah kiamat dunia. Baginda saw adalah model terunggul menterjemahkan Al Quran dalam kehidupan. Apa yang zahir dan terzahir dari sisi Baginda saw itulah Quran Zahir – Islam Zahir. Apa yang tersembunyi dalam dada,kalbu dan hati Baginda saw yang teramat mulia itu, itulah Quran Batin – Islam Batin. Quran Zahir dan Islam Zahir tersebar luas, dan para Sahabat ra diberi pegkhususaan masing-masing dalam berbagai-bagai disiplin ilmu, tetapi Quran Batin atau Islam Batin adalah pengkhususan dan terkhusus bagi Sahabat-Sahabat Pilihan dan ilmu ini dibicarakan secara khususiah sesama mereka. Ilmu ini tidak berkembang luas tetapi bersemadi di dada dan di jiwa para sahabat utama. Inilah tradisi ilmu ini.

Ditanyakan kepada sebahagian ulama, tentang ilmu batin:”Apakah ilmu batin itu?”.Lalu ia menjawab:”Iaitu salah satu dari Sirr (rahsia) Allah Taala yang dicurahkannya ke dalam hati kekasih-kekasihNya yang tidak diperlihatkanNya kepada malaikat dan kepada manusia”
Inilah ilmu yang tidak ditulis dalam kitab-kitab dan tidak diperkatakan oleh orang-orang yang telah dianugerahi Allah Taala dengan sesuatu dari ilmu ini selain bersama ahlinya. Iaitu dengan bersama-sama bertukar fikiran dan dengan cara rahsia’. (Ihya Ulumiddin Jld. 4 hal.63)
Inilah ilmu tersembunyi yang dimaksudkan oleh Nabi saw dengan sabdanya.
‘Sesungguhnya sebahagian dari ilmu itu seakan-akan seperti keadaan tertutup yang tidak diketahui selain oleh ahli yang mengenal (makrifat) akan Allah Taala. Apabila mereka mempercakapkannya maka tidak ada yang tak mengerti selain orang-orang yang telah tertipu, jauh dari Allah Taala. Dari itu janganlah kamu hinakan seorang yang berilmu yang dianugerahi oleh Allah Taala ilmu tersebut kerana Allah Taala sendiri tidak menghinakannya kerana telah menganugerahkan ilmu tadi’ (Ihya Ulumiddin Jld.1 hal.97-98)
Al Hasan meriwayatkan dari Rasulullah saw bahawa Rasulullah saw bersabda:
‘Ilmu itu dua macam.Ilmu batin ialah dalam hati. Itulah ilmu yang bermunafaat’.
Nabi Isa as begitu memperkatakannya di tengah khalayak dan kepada Hawariun dan mempersaksikan kebesaran Allah swt melalui mukjizatnya. Misalnya seperti Firman Allah swt:
‘(Ingatlah) ketika Allah mengatakan:”Hai Isa Putera Maryam, ingatlah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu di waktu Aku menguatkan kamu dengan Ruhul Qudus. Kamu dapat berbicara dengan manusia di waktu masih dalam buaian dan sesudah dewasa; dan di waktu Aku mengajar kamu menulis, hikmah, Taurat dan Injil, dan waktu kamu membentuk dari tanah (suatu bentuk) yang berupa burung dengan izinKu, kemudian kamu meniup padaNya,lalu bentuk itu menjadi burung dengan seizinKu. Dan (ingatlah) waktu kamu menyembuhkan orang yang buta sejak dalam kandungan ibu dan orang yang berpenyakit sopak dengan seizinKu, dan di waktu kamu mengeluarkan orang mati dari kubur (menjadi hidup) dengan seizinKu, dan (ingatlah) di waktu Aku menghalang Bani Israel (dari keinginan mereka membunuhmu) di kala kamu mengemukakan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata; lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata;”Ini tidak lain melainkan sihir yang nyata’ ( Al Maidah:5.110)
Demikian juga kebanyakan para Nabi dan Rasul dahulu kala, termasuk Gautama Buddha dan Lao Tze. Akhirnya mereka dan sesungguhnya ramai lagi dari kalangan yang diberikan mukjizat termasuk risyi dan maharisyi dalam Agama Hindu, diberi taraf ketuhanan dan dewa oleh para pengikut yang taksub dan takjub, sedangkan mereka – dengan berbagai-bagai motif dan sebab, atau belum cukup sempurna pengetahuan mengenai soal-soal ketuhanan dan rohaniah – soal-soal makrifat dan hakikat. Rasulullah saw tidak menyiarkan secara meluas kerana menyedari akan impak kepada umatnya. Justru Baginda saw lebih menekankan aspek syariat dan tarikat dan menutup ruang untuk bicara umum mengenai hal-hal metafizika, makrifat dan hakikat dengan hujah Baginda saw seperti berikut:
‘Bertafakurlah (berfikir) pada makhluk Allah, dan jangan kamu bertafakur pada Zat Allah Taala’
Dan Firman Allah Taala:
‘Mereka bertanya kepada kamu mengenai roh.Katakanlah: Roh adalah urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan kecuali sedikit’ (Al Isra:17:85)
Baginda saw tidak menyebarkan rahsia makrifat dan hakikat – rahsia kerohanian dan ketuhanan kepada umum walhal Baginda saw lah sumber bagi semesta alam! Demi sesungguhnya bidang ilmu ini; asas bagaimana sumber perolehannya tidak memerlukan riwayat dan perawi kerana ini adalah kerohanian!Segala yang bernama kerohanian adalah kerohanian dan tersebar berkembang secara kerohanian!
Memperolehi ilmu batin seumpama inilah Abu Yazid al Bistami dan lain-lain ulama tasauf mengatakan: ‘Bukanlah orang berilmu (orang alim) itu, orang yang menghafal dari kitab. Apabila ia lupa yang dihafalnya nescaya ia menjadi orang bodoh. Sesungguhnya orang yang berilmu itu ialah orang yang mengambil ilmunya dari Tuhannya pada sembarang waktu yang dikehendaki tanpa hafalan dan pelajaran’ (Ihya Ulumiddin Jld.4 hal.64), sesuai dengan isyarat Al Quran:
‘Dan telah Kami ajarkan pengetahuan daripada Kami kepadanya’ (Al Kahf:65)
Untuk melihat kesempurnaan hidup – hidup pada tahap kesempurnaan sebenar, yang belum pernah lagi terbentuk sejak perutusan Nabi Adam as – lihatlah pada masyarakat dan Negara Islam pada zaman dan waktu ayat 3 Surah Al Maidah tersebut diturunkan. Itulah zaman Rasululah saw dan zaman Khulafa Ar Rasyidin. Itulah model peribadi Islam – model insan mukmin dan solihin sejati. Itulah model masyarakat Islam – model masyarakat yang menjadikan urusan dan tanggungjawab terhadap Allah dan RasulNya sebagai prioriti. Itulah model asas Negara Islam – Negara yang menjaga kebajikan rakyat dan kemurnian agama lebih utama dari segala yang lain. Bagaimana kehidupan peribadi, kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara dan jalinan hubungan antarabangsa, abad ke 7 Masehilah model asasnya – iaitu pada waktu Tamadun Kerohanian menjadi paksi kehidupan; hidup berpaksikan kerohanian, akhirat menjadi carian menakala dunia sebagai tempat dagangan.
Apabila berlalu zaman Sahabat ra tamadun kerohanian semakin terpinggir. Demikianlah seterusnya zaman tabiin dan tabiut tabiin. Dan selepas zaman-zaman tersebut maka zaman ketamadunan keindahan Islam semakin meluntur. Inilah yang disabdakan oleh Nabi Penghulu Junjungan saw:
‘Sebaik-baik kurun, kurun yang aku diutuskan kepada mereka, kemudian yang berikutnya, kemudian yang berikutnya’
Sekarang dunia telah mencecah saat kiamat yang telah semakin hampir.Empat belas abad Rasulullah saw telah meninggalkan kita, apakah masih ada lagi apa-apa ‘kurun kebaikan’ pada zaman kini setelah kebaikan semakin menghilang bersama berlalunya abad-abad masa? Apakah masih lagi ada apa-apa kebaikan? Sesungguhnya ada begitu banyak sebab kenapa kenyataan Rasulullah saw bahawa zaman yang semakin jauh dengan nur kenabian menjadi zaman yang semakin dipenuhi kezaliman. Antaranya kami perturunkan sebagai rumusan-rumusannya.

1. Berlakunya Peralihan Kiblat Hati.

Kiblat hati ialah perhatian hati kepada Allah. Peralihan ialah berubahnya tumpuan dan hadap hati daripada Allah dan RasulNya kepada selainNya. Termasuk juga dalam maksud ini ialah peralihan daripada akhirat kepada dunia.Yang dimaksudkan dunia ialah manis madu dan hidup sukarianya – kesukaan, keseronokan dan keasyekan mencari dan mengumpulkan harta benda, wang ringgit, kekayaan, kesenangan, kemewahan, mencinta pangkat, kedudukan dan kebesarannya serta bekerja bersungguh-sungguh untuk kecemerlangan duniawi, mencari ringgit dan harta untuk hidup sukaria dan bergaya, dan pesta-pestaan yang semuanya itu adalah berpaksi kepada runtunan nafsu. Inilah bahaya besar dan larangan terbesar dari Allah Azzawajalla:
‘Dan janganlah engkau tujukan kedua matamu kepada kesenangan sebagai bunga kehidupan dunia yang Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka kerana Kami hendak menguji mereka dengan itu sedang rezeki dari Tuhan engkau lebih baik dan lebih kekal’( Thaha:131)
Inilah juga yang diwasiatkan oleh Rasulllah dalam satu peristiwa mengenai kebimbangan Baginda saw kepada dunia:
‘Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw mengutus Abu Ubaidah bin Al Jarrah. Lalu ia datang dengan membawa banyak harta dari Bahrain. Maka kaum Ansar mendengar kedatangan Abu Ubaidah.Lalu mereka mengerjakan solat Subuh bersama Rasulullah saw dengan sebaik-baiknya. Apabila Rasulullah saw selesai solat, lalu Baginda saw pergi.Maka datanglah mereka kepada Nabi saw. Rasulullah saw tersenyum ketika melihat mereka. Kemudian bersabda:”Aku menyangka bahawa kamu telah mendengar bahawa Abu Ubaidah telah datang dengan membawa sesuatu.Mereka menjawab:”Benar wahai Rasulullah”
Nabi saw lalu mejawab:”Bergembira dan berangan-anganlah apa yang menyenangkan kamu.Demi Allah! Tiadalah kemiskinan yang lebih aku takut kepada kamu.Tetapi yang lebih aku takut kepada kamu ialah bahawa terhampar kepadamu dunia, sebagaimana telah terhampar kepada orang-orang sebelum kamu.Lalu kamu berlomba-lomba akan dunia sebagaimana mereka berlomba-lomba padanya.Maka dunia akan membinasakan kamu sebagaimana dunia telah membinasakan mereka’ – Ihya Ulumiddin Jld.5 hal.19
Tasauf dan kerohanian semakin terpinggir apabila dunia terhampar dalam haribaan kaum muslimin selepas berakhirnya babak cemerlang era Rasulullah saw, era para Sahabat ra, era tabiin dan tabiut tabiin. Pada ketika Empayar Umaiyyah dan Abbasiah menjadi pemegang amanah kepada empayar dan ummah Islam, wilayah-wilayah Islam bukan sahaja sudah begitu luas tetapi sudah dihamparkan dengan manis-madu dunia yang amat mengasyekan nafsu dan hawa. Apabila manis madu dunia terhampar di haribaan, jarang manusia selamat.
Al Quran memberi peringatan-peringatan seperti berikut mengenai dunia:
`…maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu…’ Luqman: 33
‘Dan tiadalah kehidupaan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka.Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. – Al An’aam: 191
‘Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan – Huud: 15 – 16.
Cinta dunia dan cinta Allah tidak boleh berkongsi di dalam satu hati.Hati cuma memiliki satu pilihan dan tidak akan mampu mengisi kedua-dua pilihan. Apabila hati lebih mencintai dunia, akan meranalah akhirat
Hadis Nabi saw: ‘Barangsiapa mencintai dunia, nescaya membawa kepada melarat akhiratnya.Dan barangsiapa mencintai akhiratnya, nescaya membawa melarat kepada dunianya.Maka utamakanlah yang kekal, atas apa yang fana’ – Ihya Ulumiddin Jld. 5 hal.9
Apabila dunia dihadapkan maka akan berpalinglah akhirat. Apabila dunia dikasihi maka haramlah akan beroleh cinta Allah.Beralihlah kiblat hati. Maka hati akan menghadapi dunia dengan nafsu yang tidak akan cukup untuk selama-lamanya.Akhirnya luputlah darjat hamba Allah. Akuan hamba Allah cuma di bibir semata-mata tetapi pada hakikatnya adalah hamba dunia, hamba pejabat, hamba ringgit,hamba harta dan sebagainya kerana nafsu telah menjadi tuhannya.
Sabda Penghulu Junjungan saw:
‘Tuhan yang disembah di bumi yang sangat dimarahi Allah Taala ialah hawa nafsu’
Firman Allah swt seterusnya.
‘Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia dan meninggalkan akhirat – Al Qiyaamah: 20-21.
Justru Allah Taala berfirman seterusnya:’Wahai dunia! Berkhidmatlah kepada orang yang telah berkhidmat kepadaKu dan perbudakkanlah orang yang berkhidmat kepadamu’ – 272 Hadis Qudsi, hal. 108
Seluruh umat muslimin sejak bermulanya era imperialisme di seluruh dunia Islam sampailah ke hari ini – setelah kemerdekaan geografi dicapai – adalah budaknya dunia. Apa lagi yang membezakan antara orang kafir Barat dengan orang Islam mengenai dunia – dalam urusan pentadbiran negara, sistem ekonomi, pendidikan, sistem mahkamah dan perundangan, sistem kepolisan, sistem sosial, budaya kerja, konsep pembangunan negara dan sebagainya – apa lagi yang Barat tidak dijadikan guru, sehingga menjadi benarlah Sabda Rasulullah saw:
‘Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka’. Sahabat bertanya:”Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?”. Nabi saw menjawab:”Siapa lagi kalau bukan mereka!”
Inilah yang diperingatkan oleh Rasulullah kepada para sahabat dalam satu peristiwa apabila terbuka keinginan untuk mengambil apa-apa yang sesuai dari sumber selain Islam.
Dari Jabir ra. Dari Nabi saw. (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap Baginda saw. Lalu berkata:”Ya Rasulullah. Kami ada mendengar cerita-cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang-orang Yahudi, maka bagaimana fikiran tuan bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?”
Mendengar yang demikian Nabi saw bersabda:
“Adakah kamu merasa ragu-ragu dan serba salah (dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu Agama Islam dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci. (dari sebarang syirik dan penyelewengan) dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya selain menurutku” – Mastika Hadis Jilid 1 hal. 47.
Tetapi keasyekan dan keterpesonaan yang diwariskan oleh kolonialisme Barat terhadap umat Islam sehingga kini masih lagi belum terungkai dan umat Islam sehingga kini masih lagi tertoleh-toleh mencari kiblat setelah selama ini berkiblatkan Barat dan Jepun/Korea yang keterpesonaannya tetap sampai kini!
Dunia sepatutnya dihadap oleh Bangsa Melayu dan umat Islam dengan contoh Ibnu Umar. Rasulullah saw bersabda kepadanya:
’Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang bahkan seolah-olah orang yang dalam perjalanan musafir’ dan semenjak itu ibn Umar selalu berkata: ‘ Apabila engkau berada pada waktu petang maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu petang, dan ambillah peluang dari kesihatanmu untuk membuat amal untuk masa sakitmu, dan peluang masa hidupmu berbekal untuk matimu’ – Mastika Hadis Rasulullah saw Jilid 1, hal 277-278
Dunia sepatutnya diambil dalam bentuk yang seimbang dengan tuntutan akhirat sebagaimana pesanan Nabi saw:
‘Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah seolah-olah kamu akan mati di esok hari’
Soalannya sekarang, umat Islam memberikan waktu bekerja untuk dunia bagaikan tidak mati di esok hari!

2. Serangan Ideologi Barat

Barat sebenarnya bukanlah musuh bagi Islam kerana Islam adalah agama sejagat yang dianuti oleh semua bangsa dunia. Cuma sejarah telah mentakdirkan bangsa-bangsa Barat menjadi bangsa yang menganut agama Nasrani dan Yahudi – dua agama langit yang diselewengkan oleh golongan paderi dan rahib yang dijelaskan oleh Al Quran sebagai bangsa yang amat memusuhi Nabi Akhir Zaman.Sejarah permusuhan antara Barat dengan Islam tidak akan diperkatakan di sini, tetapi kesimpulan dari semuanya itu adalah berpunca dari satu sebab : kedengkian. Sebagaimana Azazil dengki kepada Nabi Allah Adam as maka demikianlah Bangsa Yahudi yang menganut agama Yahudi dan Nasrani, mereka – pemimpin agama dan gereja – tiba-tiba menjadi dengki, apabila Nabi Akhir Zaman yang amat mereka kenali dan dinanti-nanti tidak dilahirkan dari kalangan bangsa Yahudi, tetapi sebaliknya lahir dari kalangan bangsa Arab Quraisy. Al Quran menerangkan:
‘Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anak sendiri’ (AlBaqarah:146)
Orang-orang Yahudi teramat kecewa kerana mereka tahu melalui sejarah kebangsaan mereka, dan melalui apa yang diterangkan oleh Al Kitab mereka ( Injil dan Taurat) Nabi Akhir Zaman adalah Perutusan yang memang dinanti yang dimasyhurkan zaman berzaman. Gautama Buddha dan Lao Tze ada menyentuh mengenai hal ini. Bahkan dalam Veda juga dinyatakan.
Bahawa sesungguhnya dalam Kitab-Kitab sebelum Al Quran berita tentang akan terutusnya Nabi Akhir Zaman Nabi Muhammad saw telah diumumkan oleh setiap Nabi dan Rasul. Penyelidikan yang dibuat oleh Dr.Ved Prakash Upaddhayaya pakar Sanskrit dari Universiti Prayag telah merumuskan bahawa dalam kitab Vedas dan Purana ada empat gelaran Nabi Muhammad saw:
i. Narasyangsa – maknanya Yang Terpuji (Muhammad)
ii. Antim Rishi – Utusan Terakhir
iii. Kalki Avatar – Utusan Akhir Zaman
iv. Mamaha & Ahamiddhi – Muhammad & Ahmad
Dalam Atharveda 20:127:2 dinyatakan Narasyangsa (Muhammad) mengenderai unta dan memiliki 12 isteri.
Tidakkah maklumat ini mirip kesah kehidupan Nabi Muhammad saw apabila Baginda saw diutuskan di Mekah ?
Demikian juga diriwayatkan Gautama Buddha mewasiatkan kepada anak muridnya Ananda berkenaan Buddha (Pemberi Cahaya) akhir zaman yang bergelar ‘Maitreya’ yang bererti ‘Pembawa Rahmat’; samalah seperti Al Quran Surah Al Ambiyaa:107:
‘Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk rahmat bagi semesta alam”.
Semua ahli Kitab sebelum terutusnya Nabi Muhammad saw tahu betapa Nabi Akhir Zaman adalah pembawa obor kecemerlangan dan kegemilangan yang tiada taranya bagi bangsa yang akan dipimpinnya sepertimana gemilangnya bangsa-bangsa terdahulu melalui kepimpinan para Nabi dan Rasul as. Bangsa Yahudi teramat kecewa kerana hasrat kebangsaan Yahudisme untuk menjadi bangsa terkemuka untuk zaman seterusnya bagi kesekian kalinya, pasti akan lenyap samasekali! Sebaliknya bangsa Arab Quraisy lah yang akan menjadi bangsa cemerlang, gemilang dan terbilang, sebagai pemimpin peneraju di persada dunia dan seterusnya dari keturunan Nabi dan bangsa inilah – Ahlul Bait – akan menjadi bangsa pemimpin dunia untuk kegemilangan Islam akhir zaman menjelang kiamat. Hadis Rasulullah saw menerangkan mengenai hal ini:
‘Sesungguhnya Nabi saw memegang tangan Ali, maka katanya:’Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang akan memenuhi bumi dengan keadilan. Apabila kamu lihat yang demikian maka turutlah pemuda orang suku Tamim kerana ia akan datang dari sebelah timur dan ia pemegang bendera Mahdi’
Sejarah perhubungan Rasulullah saw dengan kaum Yahudi Bani Qainuqa, Bani Khuraizah dan Bani An Nadir di Madinah al Munawwarah adalah sejarah sakit hati dan dendam kesumat kaum Yahudi dan semuanya telah terpahat dalam sejarah. Kitab Al Quran memeperjelaskan dengan panjang lebar dan berulang-ulang mengenai hal ini. Permusuhan zaman berzaman ini diperingatkan oleh Al Quran kepada Nabi Muhammad saw dan umatnya. Petikan-petikan berikut dapat memberikan maklumat yang sejelasnya.
‘Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka’ – Al-Baqarah: 120.
‘Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman kerana dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri setelah nyata bagi mereka kebenaraan’ (Al Baqarah:109)
‘Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (ikutan dan teladan)…..Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka’ (Al Maidah:51)
Umat Islam teramat sadar betapa Perang Salib yang berlaku selama ratusan tahun antara puak Yahudi /Nasrani dengan Islam adalah peperangan untuk menghancurkan Islam. Di sebalik kemenangan Islam, bangsa-bangsa Kristian Barat telah dapat mencuri tamadun ilmu Islam. Melalui pemerolehan ini, Barat mulai keluar dari Dunia Gelapnya dan serangan salibisme diteruskan dengan strategi yang berlainan pada ketika umat Islam telah menjadi pencinta dunia – hidup sukaria dengan hiburan dalam pesta-pestaan, dan telah beralih kiblat hati. Penjelajahan Barat ke serata dunia Islam adalah lanjutan salibisme dengan memegang prinsip 3G – God, Gold and Glory’ (Penjelajahan adalah demi Tuhan iaitu Agama Kristian, Kekayaan dan Kemegahan)
Banyak cebisan-cebisan sejarah mengenai motif salibisme ini dalam kebangkitan bangsa barat ini. Diperturunkan sekadar beberapa petikan mengenai hal ini.
Tome Pires dalam tulisannya dianggarkan pada tahun 1515 telah menulis mengenai motif serangan terhadap Melaka‘…Oleh kerana telah diketahui betapa untungnya Melaka dari segi kepentingan keduniaan. Apa lagi dari segi kepentingan kerohanian kerana Mohammad telah disekat dan tidak boleh bergerak lebih jauh, dan melarikan diri seberapa yang boleh. Dan biarlah orang memihak kepada satu pihak, sedangkan perdagangan memihak kepada agama kita; dan yang sebenarnya Mohammad (Agama Islam) akan dimusnahkan, dan tidak dapat dielakkan dia akan dimusnahkan.’ – Ahlul-Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Raja-Raja Melayu, hal. 293.
`Apabila muncul pemberontakan di Mesir pada abad ke 19 berkatalah Gladstone Perdana Menteri Inggeris di Parlimen sambil tangannya memegang al-Quran:”Selagi mereka itu membaca kitab ini,kita akan terusir daripada Mesir, bukan sahaja kita akan terusir daripada Mesir di mana pengaruh kita di Timur Tengah akan luput, dan Terusan Suez akan tertutup kepada kita, akhirnya India akan hilang daripada kita dan kepentingan kita di Timur akan terancam” – Amaluddin Darus, Manusia Di Langit dan Di Bumi hal.107.
Sebelum Perang Dunia Pertama, Eropah telah membahagi dunia untuk mereka.Menurut Viet Valentin koloni Inggeris berjumlah 50, Perancis 22, Belanda 4, Portugis 8, Spanyol 4, Rusia 4, Amerika Syarikat 5, Itali 4, Denmark 5 dan Jerman 8.
Tepat pula dengan apa yang dikatakan oleh Livingstone: ‘The end of the geographical feet is the beginning ot the missionary enterprise’ (Tujuan dan akhir dari penaklukan geografi adalah permulaan perusahaan mubaligh)
Setelah membenarkan kata-kata Livingstone, pendita Samuel W. Zwemmer pelupur ‘Islamic Policy’ yang terkenal itu pun membenarkan prinsip pastor Raymundus Lullus (mati 1326) iaitu seorang pemuka Kristian yang sangat membenci Islam. Ia berpendapat bahawa ‘ Islam adalah palsu dan harus mati. Oleh kerana itu dunia Islam haruslah direbut melalui dominasi politik dan dipertahankan untuk kemudiannya diserbu oleh mubaligh, memisahkan kaum Muslimin dari agamanya dan kemudian diganti dengan agama baru yakni Kristian’ (Mengapa Umat Islam Dilanda Perpecahan hal.149)
Memisah dan menyingkirkan Islam dapat dilakukan dengan berkesan apabila Al Quran dipinggirkan. Pendidikan menjadi alat yang amat berkesan dan dipergunakan sebaiknya. Strategi memperkenalkan tulisan roman (rumi) menggantikan tulisan Arab (jawi) pada era penjajahan di Tanah Melayu, adalah senjata yang sangat berbisa sehingga Bangsa Melayu di Tanah Melayu untuk beberapa dekad saja kemudiannya menjadi bangsa yang jahil Quran. Jahil Quran ertinya jahil agama. Jahil agama ertinya tidak menjadikan agama sebagai garis panduan hidup. Urusan syariat dan zahir amal – solat,puasa, zakat dan haji masih kelihatan, tapi urusan batin dan tasauf telah terpinggir.
Para orientalis tahu melalui pengkajian dan penyamaran mereka sebagai seorang Islam dan intelektual Islam, di mana letaknya sumber kekuatan para Sahabat ra sewaktu abad pertama Hijrah dahulu. Snouck Hugronje (1857-1936) adalah contoh orientalis yang paling jahat menyamar sebagai Abdul Ghafar telah menetap di Mekah khusus dengan tujuan untuk mempelajari Islam dengan maksud dan motif rahsia penuh durjana. Beliau yang berada dalam jentera mubaligh dan gerakan Yahudi dan Kristian sedunia telah menghasilkan penulisan yang penuh dengan berbagai-bagai idea dan strategi untuk penghancuran Islam. Apabila mereka mentadbir Negara-negara umat Islam, mereka tahu apakah strategi untuk memusnahkan Islam.Dengan itu tersingkirlah batin agama – tersingkirlah ilmu Tasauf dan sejak sekian lama kekallah umat Islam menjadi hidangan enak untuk di ratah oleh bangsa-bangsa yang lebih kuat dan berkuasa.
Kejahilan akhirnya menjadi wabak yang amat merbahaya bagi Bangsa Melayu apabila ilmu agama tidak lagi dapat difahami kerana media untuk memahaminya telah tiada. Kitab-kitab jawi dan Quran tidak lagi dapat dibaca kerana bangsa Melayu telah buta jawi! Maka meneroboslah ke dalam minda dan jiwa anak-anak Melayu, ilmu-ilmu yang ditulis dalam tulisan rumi terutamanya melalui pendidikaan Barat sekular di Sekolah Inggeris dan Barat. Bahasa Inggeris menjadi media dan alat komunikasi baru menggantikan tradisi keilmuan Bahasa Arab dan Tulisan Jawi dan dengan demikian mengalirlah pemikiran dan falsafah, sistem dan ideologi, etika dan nilai serta sosiobudaya Barat yang demi sesungguhnya sebahagian besarnya amat bercanggah dengan konsep Tauhid dan akidah! Mencairlah jati diri Melayu dan Islam!

3. Islam Disekularkan

Sistem pendidikan sekular – Sekolah-Sekolah Inggeris tajaan Mubaligh dan Sekolah Vernakular Melayu yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris telah menjadi teras pendidikan dan mendominasi sistem pendidikan tanah air. Sistem pendidikan sekular ini telah meranapkan samasekali sistem sekolah agama dan sekolah pondok yang sejak sekian lama menjadi asas pembinaan jati diri agama dan bangsa Melayu. Pendidikan agama terpaksa menyesuaikan diri dengan keperluan kolonial dan dengannya diterapkanlah mata-mata pelajaran akademik untuk tujuan peperiksaan – bidaah pertama menyerap dalam sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan agama terpaksa menyesuaikan dengan matlamat-matlamat dalam sistem pendidikan sekular untuk boleh menempelkan lepasannya ke dalam birokrasi Inggeris – lagi satu bidaah yang diimport ke Tanah Melayu.
Menyeraplah faham sekular, materialisme dan segala kaum kerabatnya di dalam sistem pendidikan agama dan bermulalah pensekularan agama.Para ilmuan agama terumbang ambing di antara kemurnian niat menuntut ilmu berasaskan mardhatillah dengan tarikan hidangan duniawi untuk menumpang sama nikmat hidup moden acuan Barat.Hilang tenggelamlah objektif dan matlamat pendidikan Islam yang diasaskan oleh Al Quran dikaburi oleh matlamat mengisi keperluan birokrasi dan pembangunan negara. Agama Islam tidak lagi menjadi kepala keretapi yang mengheret gerabak-gerabak ke arah destinasi yang dituju – mardhatillah dan wajhillah, tetapi sebaliknya diheret dan terseret tak ketahuan oleh gerabak sekularisme dan materialisme!
Para ilmuan Islam bagaikan terlupa nawaitu menuntut ilmu Islam sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah saw:
‘Janganlah engkau mempelajari ilmu pengetahuan untuk bersombong-sombong dengan sesama berilmu, untuk bertengkar dengan orang berfikiran lemah dan untuk menarik perhatian ramai kepadamu.Barangsiapa berbuat demikian, maka dia dalam neraka” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal:225.
Bersabda Nabi saw:“Barangsiapa menuntut ilmu di antara ilmu pengetahuan yang menuju kerelaan Allah untuk memperoleh harta benda duniawi, maka orang itu tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal.233.
Lahirlah penuntut ilmu yang menuntut untuk mencari dunia. Lahirlah ilmuan yang selesa dengan dunia dan kemewahan yang mengelilingnya. Ilmu dan bidang ilmu dipelajari bukan kerana menuntut wajah dan redhaNya tetapi dipelajari sesuai dengan keperluan birokrasi negara. Ilmu dituntut bukan berdasarkan pilihan hati nurani sendiri tetapi ditentu dan ditetapkan oleh kurikulum yang sesuai dengan keperluan tenaga kerja negara di insitusi-institusi pendidikan.Inilah sistem pendidikan sekular yang telah menghancurleburkan nilai-nilai dan matlamat suci dalam pendidikan agama dan ukhrawi.
Tasauf yang memang bidang ilmu yang cuma berupaya diamalkan oleh hati yang telah memiliki iman yang mukhlisin, yang memerlukan kerja kuat dan mujahadah untuk menyingkirkan sejauh-jauhnya sifat-sifat mazmumah, kehaiwanan dan kesyaitanan bagi meningkat kepada martabat insan kamil, perlahan-lahan dikuis dari sistem. Keindahan dalam matlamat tasauf ini sudah tentu begitu terasing dalam kehidupan yang sibuk memburu kebahagiaan dunia dan nafsu. Justru ilmu tasauf akhirnya tersingkir dari sistem pendidikan apabila jalan hidup sufisme dan tasauf berbalah ufuk dengan sistem pendidikan sekular Barat yang telah meresapi seluruh institusi pendidikan di seantero dunia termasuk di Timur Tengah.Ilmuan-ilmuan lepasan sistem pendidikan ini yang tidak pernah samasekali menjalani hidup Tasauf dan mengalami rasa Tasauf; sekadar mempelajari untuk tujuan-tujuan ilmiah, lantas melahirkan fatwa-fatwa yang memfitnahkan ilmu Tasauf Islam telah diresafi oleh fahaman Hindu dan Buddha, penuh dengan kesesatan dan karut-marut!
Terpinggirnya Tasauf dari persada ilmu. Tersingkirnya tasauf ertinya tercapailah usaha barat untuk menyingkirkan Kitab Al Quran daripada umat Islam kerana tanpa Tasauf, tiadalah batin – tiadalah Quran Batin, atau Islam Batin. Islam tanpa batin adalah Islam yang lemah dan lembik, samalah bagai manusia yang cuma memiliki jasad, tetapi tidak mempunyai roh dan jiwa – jadilah mayat-mayat yang menunggu waktu untuk dikebumikan! Pada hari ini ummah Islamiah adalah umat manusia yang lemah dan lembik persis jasad yang tidak bernyawa setelah kehebatan Islam dicabut. Sabda Rasulullah saw mengenai hal ini:
‘Apabila diagungkan oleh umatku akan dinar dan dirham, nescaya dicabutkan daripadanya kehebatan Islam. Dan apabila meninggalkan amar maaruf dan nahi munkar, nescaya diharamkan mereka dari keberkatan wahyu’. Berkata Al Fulail:”Yakni diharamkan mereka dari memahami Al Quran!”
Apakah generasi sekarang – generasi Melayu tentunya; apakah benar mereka telah diharamkan dari memahami Al Quran?
Sabda Penghulu Junjungan saw seterusnya.
‘Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar menghadapi makanan’. Mereka bertanya:’ Apakah kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah?’. Jawab Baginda saw:”Kamu ramai, tapi kamu laksana buih air bah. Hati mereka yakni orang-orang kafir tidak merasa takut kepada kamu tetapi dalam hati kamu sendiri terdapat penyakit wahn. Mereka bertanya:’Apakah penyakit wahn itu wahai Rasulullah?’. Jawab Baginda saw:’Cinta dunia dan takut mati’
Cinta dunia adalah kenyataan yang dapat dilihat dengan amat jelas melanda ummah Islamiah di serata dunia apabila tidak lagi ada apa-apa yang tidak sama di antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam dalam mengurus sistem hidup bernegara. Konsep Negara Barat dan tamadunnya diikuti sepenuhnya dengan penuh rasa ketakjuban dan keterpesonaan. Apa lagi yang masih berbeza antara Islam dengan Barat dalam menanggapi dan menangani dunia?
Takut mati juga telah menjadi bagitu ketara kerana betapa bimbangnya umat Islam kepada bakal hilangnya nikmat-nikmt duniawi dan hidup sukaria yang sedang dinikmati. Tafsiran jihad sudah diubah. Keamanan negara dan dunia menjadi slogan dan prinsip yang mesti dipertahankan selagi boleh, walaupun dalam ‘aman’ maruah dan harga diri bangsa bahkan agama tergadai dan terkorban! Perpaduan sesama umat Islam sejagat hampir mustahil dilakukan kerana perpaduan pada peringkat sesama bangsa dan suku pun masih teramat sukar untuk direalisasikan. Puncanya cuma satu iaitu ‘tidak ada kesediaan umat Islam untuk kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul saw’.Benarlah sabda Nabi Muhammad saw:
“Demi Allah yang mengutuskan aku dengan sebenarnya menjadi Nabi! Sesungguhnya akan bercerai berai umatku dari pokok agamanya dan kumpulannya kepada tujuh puluh dua golongan.Semuanya sesat menyesatkan yang membawa mereka kepada neraka.Apabila telah ada yang demikian, maka haruslah kamu berpegang teguh dengan Kitab Allah azza wa Jalla (Al Quran)…..Barangsiapa mencari ilmu yang lain dari Al Quran nescaya dia disesatkan oleh Allah Azza wa Jalla….” Ihya Ulumiddin Jld.2 hal 148-149
Musibah dan akibah sistem ideologi Barat yang mengurus dan mentadbir dunia sejak ratusan tahun lalu – sejak terpinggirnya ajaran Allah dan RasulNya dari pentas pentadbiran dunia -, maka berlakulah sebagaimana Sabda-Sabda Rasulullah saw seperti berikut:
Sepotong hadis Nabi saw. diriwayatkan oleh Ibn Abbas mengenai perkara-perkara yang berlaku masa akhir zaman yang bermaksud: ‘Sembahyang tidak dihiraukan, nafsu syaitan bermaharajalela, yang tidak beriman akan menjadi pemimpin-pemimpin, terlalu susah untuk membezakan yang benar dengan yang salah, bercakap bohong menjadi-jadi, membayar zakat dianggap membebankan, orang-orang yang beriman merasa sedih melihat maksiat dilakukan di sekeling mereka, tetapi mereka tidak berdaya untuk berbuat atau berkata apa-apa, lelaki berzina dengan lelaki dan wanita dengan wanita, kaum wanita akan menguasai dunia, anak-anak tidak mendengar perintah orang tua mereka, sahabat akan melayan sahabat dengan sikap tidak jujur, maksiat tidak diambil berat, masjid-masjid akan dihias dengan berbagai hiasan dan binaan yang cantik molek, sungguhpun masih ada orang yang mengerjakan sembahyang, tetapi tidak ada kejujuran di hati mereka, orang-orang dari Barat menguasai umatku yang lemah, manusia akan mencetak al-Quran dengan dakwat emas tetapi tidak menurut ajarannya, darah manusia tidak ada harga, agama tidak ada penolong-penolong untuk memperkuatkannya, penyanyi-penyanyi wanita akan bertambah banyak, orang yang kaya mengerjakan haji semata-mata untuk berehat, orang pertengahan mengerjakannya untuk mendapat peluang berniaga dan yang miskin untuk meminta sedekah” – Manusia Di Langit dan Di Bumi hal. 64 -65.
Nabi saw. Bersabda seterusnya:
’Akan datang sesudahmu suatu kaum yang memakan makanan dunia yang baik-baik dan berwarna, mereka mengenderai unta yang cantik dan berwarna-warna, mengahwini wanita tercantik dan berwarna-warna, memakai kain yang tercantik dan berwarna-warna. Mereka mempunyai perut yang tiada kenyang dari makanan yang sedikit.Mempunyai nafsu yang tidak merasa cukup dengan yang banyak, mereka berhenti di atas dunia berpagi dan bersore hari kepada dunia, mereka mengambil dunia itu menjadi Tuhan yang disembah, tidak Tuhan yang disembah mereka sendiri. Mereka mengambil Tuhan selain Tuhan mereka. Kepada urusan dunia mereka berkesudahan.Mereka mengikut hawa nafsunya. Maka cita-cita Muhammad bin Abdullah, bagi siapa yang mendapati zaman itu dari sesudah, sesudah kamu dan di belakang, belakang kamu, bahawa ia tidak memberi salam kepada mereka.Tidak mengunjungi orang-orang sakit mereka.Tidak turut menghantar jenazah-jenazah mereka.Dan tidak memuliakan orang besar mereka.Maka siapa yang berbuat demikian, nescaya ia telah menolong menghancurkan Islam”, Ihya Ulumiddin Jld.5 hal.104
Hadis saw seterusya:
‘Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal dari Al Quran itu kecuali hanya tulisannya.Masjid-masjd mereka tersergam indah, tetapi ia kosong dari hidayah.Ulamak mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali’
Sekularisme telah menjadikan ilmuan dan umat Islam hanyut begitu jauh.Berbagai-bagai ideologi Barat yang bercanggah dengan Islam telah bertelur,menetas dan membiak dalam minda, kalbu, jiwa nurani umat Islam menjadikan umat Islam umat yang telah keliru mengenai makna dan tujuan hidup di dunia. Ilmuan Islam yang tidak memunafaatkan ilmunya menurut acuan Allah dan RasulNya telah membawa gerhana dan bencana kemanusiaan yang cukup lama dalam kehidupan dunia.Umat Islam seharusnya kembali menghayati pesanan-pesanan terakhir berikut yang bersumber dari rumusan amanat Habibullah saw:
‘’Tidakkah engkau melihat kepada mereka yang telah lalu, bagaimana mereka itu membangun dan tinggi, kemudian mereka itu pergi dan berlalu? Betapa Allah mewariskan bumi mereka dan kampung halaman mereka kepada musuh-musuh mereka? Apakah tidak engkau melihat mereka mengumpulkan apa yang tidak mereka makan, membangun apa yang tidak mereka tempati dan mengangan-angankan apa yang tidak mereka capai? Setiap seorang membangun istana yang tinggi ke arah langit. Dan tempat ketetapannya adalah kuburan yang dikorek di bawah bumi.Maka adakah dalam dunia kedunguan dan keterbalikan yang lebih besar daripada ini? – Ihya Ulumiddin Jld.8 hal. 172-172
Maka bangunlah di atas permukaan bumi itu istana engkau! Sesungguhnya perut bumi itu dalam waktu yang sedikit ini akan menjadi kubur engkau – Ibid hal. 176
Engkau bergembira setiap hari dengan bertambahnya harta engkau.Dan engkau tidak gundah hati dengan berkurangnya umur engkau – Ibid hal. 176
Engkau berpaling dari akhirat dan akhirat itu menghadap kepada engkau.Engkau menghadap kepada dunia dan dunia itu berpaling daripada engkau – Ibid hal. 176
(Untuk kefahaman yang lebih mendalam bacalah Al-Murabathah Ke Enam: tentang penghinaan diri dan pencelaannya , Ihya Ulumiddin Jld. 8 hal. 164 -180)
Dicatat oleh Pelita Di Dalam Kaca di Selasa, Mac 24, 2009 2 ulasan Pautan pada catatan ini
Ahad, 2009 Mac 22
HIDUP ADALAH PENGEMBARAAN PULANG

Hidup di dunia adalah pengembaraan dari alam fana ke alam baqa.Inilah di antara perkara pokok dalam ajaran Islam dan para Nabi dan Rasul diutus untuk memperingatkan manusia supaya jangan lupa kepada konsep ini. Selain itu pengembaraan juga dimaksudkan dengan pengembaraan jiwa untuk mengenal dan mendekatiNya. Hal ini wajib dilakukan bermula dengan kewajipan mencari ilmu. Ilmu yang paling wajib ialah seperti disabda oleh Penghulu Junjungan saw:
‘Bermula awal-awal agama itu adalah mengenal Allah”.
Pada satu hadis berikut:
‘Orang bertanya kepada Nabi saw: “Wahai Rasulullah! Amalan apakah yang lebih baik?”, Maka Nabi saw. menjawab:”Ilmu mengenai Allah Azzawajalla (Maha Mulia dan Maha Besar)
Bertanya pula orang itu:”Ilmu apa yang engkau kehendaki?”
Nabi saw. menjawab:”Ilmu mengenai Allah swt”
Berkata orang itu lagi:”Kami menanyakan tentang amal, lantas engkau menjawab tentang ilmu”
Maka Nabi saw menjawab:” Bahawasanya sedikit amal adalah bermunafaat dengan disertai ilmu mengenai Allah.Dan bahawa sanya banyak amal tidak bermunafaat bila disertai kebodohan mengenai Allah swt” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal.52
Inilah ilmu yang dimaksudkan oleh Imam Al Ghazali:’Bahawa ilmu itu lazat.Ilmu yang paling lazat ialah ilmu yang menyangkut dengan Allah Taala, dengan sifat-sifatNya, afaalNya dan pengaturanNya dalam kerajaanNya, dari penghabisan ArasyNya, sampai kepada sempadan bumi’ – Ihya Ulumiddin Jld. 7 hal.446
Demikian juga yang dimaksudkan oleh beliau:‘Hatilah apabila dikenali oleh manusia, maka sesungguhnya manusia itu telah mengenali dirinya. Dan apabila manusia telah mengenali dirinya, maka ia telah mengenal akan Tuhannya. Dan hati itu apabila tidak dikenali oleh manusia, maka manusia itu tidak mengenali dirinya. Dan apabila manusia itu tidak mengenal akan dirinya, maka ia tidak mengenal akan Tuhannya’ – Ihya Ulumiddin.Jld.4 hal.6.
Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw apabila Baginda saw menegaskan:
‘Siapa mengenal dirinya bahawasanya mengenal ia akan Tuhannya.Barangsiapa mengenal Tuhannya maka binasa jasadnya’
Tanpa makrifah dikhuatiri seluruh amal menjadi fatamorgana. Makrifah adalah melalui Rububiyah dan Uluhiyyah. Juga melalui Ilmu Sifat 20. Juga melalui Tauhid Keesaan Zat, Sifat, Asma dan Afaal Allah.
Ibadah – solat, zikir, puasa, wirid, membaca Al Quran, doa dan sebagainya adalah bagi mencapai kembara jiwa dari amarah kepada lawamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamaliah. Ini berkait rapat dengan pelupusan seluruh nafsu dan sifat-sifat mazmumah – amarah, lawamah, mulhamah, sifat binatang jinak, sifat binatang ganas dan sifat-sifat kesyaitanan dan keiblisan. Pembersihan sifat-sifat tercela membawa kepada kesempurnaan iman dan Tauhid.
Ada empat tingkat tauhid:
· Tingkat Pertama: Ucapan LA ILAAHA ILLAL LAAHU dan hatinya lalai atau memungkiri seperti tauhid orang-orang munafik
· Tingkat Kedua: Dibenarkan oleh hatinya akan makna lafal seperti umumya kaum muslimin – iktikad orang awam.
· Tingkat Ketiga: Dipersaksikan dengan jalan kasyaf (Terbuka hijab) dengan perantaraan nur kebenaran – makam orang-orang muqarrabin.
· Tingkat Keempat : Tiada dilihatnya pada yang wujud selain Yang Esa –Ihya Ulumiddin Jld. 7 hal.281-282.
Iman ada dua jenis:
· Iman Taklidi (iman ikut-ikutan) – seperti orang awam.Mereka membenarkan apa yang didengarnya dan mereka terus-menerus di atas yang demikian.
· Iman Kasyafi (iman yang tersingkap hijab) – berhasil dengan terbuka dada dengan nur Allah.Sehingga tersingkap padanya wujud seluruhnya menurut apa yang ada – Ihya Ulumiddin Jld.6 hal.173
Pengembaraan untuk peningkatan rohani – menyingkir seluruh nafsu mazmumah – pasti menempuh ancaman, gangguan dan ujian yang hebat. Peperangan hebat ini berlaku dan medannya adalah di hati kerana hati adalah pusat pentadbiran bagi jasad anak Adam. Ini berlaku pada batas nafsu amarah, lawamah dan mulhamah iaitu perebutan dan jatuh-menjatuhkan di antara tentera malaikat dan tentera syaitan dalam peperangan hati itu berjalan terus-menerus sehingga terbukalah hati kepada salah satu daripada keduanya Lalu yang satu itu bertempat dan menetap di dalam hati. (Ihya Ulumiddin Jld.4 hal. 73)
Apabila tentera syaitan menguasai hati jadilah anak Adam tersebut seorang yang durhaka. Sebaliknya jika tentera malaikat mencapai kemenangan, jiwa anak Adam tersebut akan mencapai mutmainnah.
Nafsu mutmainnah adalah jiwa yang dapat kembali kepada Allah Rabbul Alamin. Firman Allah:
‘Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredaiNya.Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu’ (Al Fajr:89:27-30)
Orang Islam yang kehilangan iman akan terpenjara selama-lamanya di tujuh tingkat neraka. Orang Islam yang masih beriman, akan dikeluarkan untuk ditempatkan pada tingkat syurga paling bawah iaitu Jannatul Ma`awa. Golongan kanan (asyhabul yamin) adalah golongan yang menempati syurga tingkat kedua dan ketiga iaitu Jannatul Naim dan Jannatul Firdaus.
Golongan muqarrabin adalah golongan yang lebih istimewa kerana kembara rohani yang begitu hampir dengan Allah dan ditempatkan pada tingkat-tingkat syurga keempat dan seterusnya sehingga tingkat ketujuh. Selain golongan muqarrabin, seluruh penghuni syurga pada tingkat yang lain tidak akan merasai nikmat terbesar syurga martabat tertinggi ini seperti dijelaskan oleh Nabi saw:
‘Kamu sekalian akan melihat Tuhanmu seperti kamu melihat sinar bulan purnama’
Sesungguhnya semakin bertasauf akan semakin teguh tingkat iman, semakin indah jiwa seseorang manusia dan semakin tinggi martabat di sisiNya. Tasauf adalah penghayataan perasaan dan merasai nikmat, bukan sekadar mengetahui tetapi menempuh dan mengalami sifat-sifat sabar, syukur, redha, zuhud, tawakal yang akhirnya membawa kepada cinta dan rindu kepada Allah Rabbul Alamin.

Tidak ada komentar :

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...