23.9.13

Perjalanan Imam Abdullah bin Alwi Al Haddad



Gambar Kredit : Al Fanshuri

Nama, nasab dan kelahirannya:
Beliau adalah Abdullah bin Alwi bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad[1] bin Abu Bakar bin Ahmad bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad Al-Faqih bin Abdurrahman bin Alwi[2] bin Muhammad[3], bin Ali[4] bin Alwi bin Muhammad bin Alwi[5] bin Ubaidillah bin Ahmad[6] bin isa[7] bin Muhammad[8] bin Ali[9] bin Jaafar Al-Shadiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainul Abidin bin Husein bin Ali bin Abi Thalib dan juga putra Fathimah binti Rasulillah Muhammad .


Gambar Kredit: Haidariya


Dilahirkan pada hari Isnin 5 Safar 1044H di Subair (sebuah perkampungan di pinggir bandar Tarim - Hadramaut). Di masa kecilnya beliau dijangkiti penyakit campak, lalu beliau buta kerananya. Akan tetapi ALLAH  telah menggantikan untuknya cahaya pada hatinya untuk melihat, serta kebersihan jiwanya.



Latar Belakang Pendidikan



Gambar Kredit: Al Aman

Imam Al-Haddad tumbuh dalam penjagaan kedua ibubapanya, iaitu Habib Alwi bin Muhammad AlHaddad, seorang yang soleh lagi dikenali dengan ketaqwaanya. Ibunya yang bernama Syarifah Salma binti Idrus bin Ahmad Al Habshee, seorang wanita solehah.

Imam Al-Haddad membesar dalam lingkungan keluarga yang baik, dimasa kecilnya beliau menyibukkan diri untuk menghafal Al-Qur’an, dan bermujahadah untuk mencari ilmu, sehingga berjaya mendahului rakan-rakannya. Bahkan dengan kegigihannya dalam mencari ilmu, beliau berjaya mendahului sebahagian guru-guru beliau, sehingga sebahagian daripada mereka menjadi murid setelah sebelumnya menjadi guru.

Salah seorang daripada mereka adalah Sheikh Bajubair, dimana imam Al Haddad telah berguru kepada Sheikh Bajubair dalam ilmu Fiqh, dan telah belajar kitab Al Minhaj (kitab Fiqh madzham Imam Syafi’i). Sheikh Bajubair merantau ke negeri India, setelah beberapa lama berada disana, lalu kemudian beliau kembali ke Hadramaut dan belajar kepada Imam Al-Haddad kitab Ihya’ululmuddin. Hal ini menunjukkan akan keluasan ilmu Imam Al-Haddad yang di berikan Oleh Allah  kepadanya sesuai dengan firmanNya:

وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْماً الكهف: ٦٥
Dan Kami telah ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami


وَاتَّقُواْ اللّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللّهُ البقرة: ٢٨٢
Dan takutlah kepada Allah, dan Allah mengajarkanmu


Ahli keluarga Imam Al Haddad




Gambar Kredit : Ted Chang


Ayah beliau bernama Habib Alwi bin Muhammad Al-Haddad, seorang yang soleh yang tergolong dalam golongan Al’Arifin. Imam Al-Haddad sendiri pernah berkata: “sesungguhnya ayahku ini suci dan mensucikan”.
Sakit menimpa ayahanda Imam Al-Haddad sehingga beliau wafat pada malam Isnin awal bulan rajab setelah mengucap kalimah لا إله إلا الله .
Setelah 5 hari ayahanda Imam Al-Haddad meninggal dunia, ibu beliau Syarifah Salma sakit selama lebih kurang 20 hari, lalu kemudian meninggal dunia setelah mengucap syahadah pada hari Rabu 24 Rajab 1072 H, bertepatan pada waktu Dhuha.
Berkata Imam Al-Haddad : “Aku memuji dan bersyukur kepada ALLAH , oleh kerana mereka berdua (yakni kedua ibu bapanya) meninggal dunia dalam keadaan yang diredhai, di zaman yang penuh dengan fitnah, sementara mereka berdua telah wafat dalam keadaan yang baik dan memberikan berita gembira, iaitu keselamatan”.
Imam Al-Haddad mempunyai 3 orang saudara, mereka adalah: Omar, Ali, dan Hamid. Beliau kerap menulis surat kepada mereka yang dipenuhi dengan nasihat-nasihat dan pengajaran-pengajaran. Akan tetapi, surat-menyurat beliau kepada Hamid (saudaranya) lebih kerap, hal ini mungkin di sebabkan oleh kerana jauhnya jarak antara mereka berdua, oleh kerana beliau (Habib Hamid) tinggal di India dan meninggal dunia di sana pada 1107H. Dari isi kandungan surat-surat itu tampak satu pertalian hubungan persaudaraan yang menggambarkan akan kesungguhan kasih sayang dan kecintaan di antara mereka.

Imam Al-Haddad mempunyai 6 orang anak lelaki, mereka adalah: Hasan, Alwi, Muhammad, Salim, Husain, dan Zain.
Beliau seorang ayah yang penyayang terhadap anak-anaknya, beliau memberikan gelaran-gelaran terhadap mereka. Seperti gelaran Ameer (pemimpin) untuk Husain, Sholeh (orang yang banyak amal ibadahnya) untuk Alwi, Hakim (sifat bijaksana) untuk Hasan, dan sheikh (guru besar) untuk zain. Berkata imam Al-Haddad tentang anaknya Muhammad:
“sesungguhnya anakku Muhammad telah mendapat derajat wilayah yang sempurna”.
Sehingga dengan demikian beliau dipilih untuk menggantikan ayahandanya di dalam pehubungan antara kabilah-kabilah untuk mendamaikan antara puak-puak yang berselisih. Contohnya beliau berjaya memadamkan api peperangan antara 2 kabilah yang berselisih, dengan menikah dengan kabilah Aal Bakatsir ( keluarga Bakatsir) demi mempererat hubungan antara kabilah-kabilah yang bersenjata. Beliau meninggal dunia di Dzamar.




Gambar Kredit : flickrhivemind.net

Adapun Hasan dan Alwi dikenali dengan keilmuannya, dan mereka menggantikan kedudukan ayahanda mereka dalam tugasan mengajar ilmu-ilmu, dan memberi makan fakir miskin, menerima tetamu-tetamu asing ataupun tetamu-tetamu khas yang datang dari luar. Imam Al-Haddad pernah berdoa untuk anaknya Hasan: “Hasan (ertinya yang baik. Pent.) semoga ALLAH membaikkan di belakangmu”. Dengan doa itu beliau mempunyai dzuriat yang baik dan banyak dari kalangan ulama. Beliau (Hasan) meninggal dunia di Tarim pada tahun 1188H, adapaun Alwi meninggal dunia di Mekkah setelah menunaikan ibadah haji, dan di kebumikan berhampiran dengan kubur Siti Khadijah R.A pada tahun 1153H.
Zain telah berhijrah ke Iraq setelah ayahandanya meninggal dunia, beliau sangat dihormati di negeri itu di sebabkan oleh kerana pengaruh ayahandanya yang begitu luas sehingga ke negeri Iraq. Beliau meninggal dunia di negeri Oman bertepatan dengan perkampungan Sheer, pada tahun 1157H. Adapun Salim, beliau menetap di negeri Misyqash dan mempunyai dzuriat di sana, lalu kemudian kembali ke kampung halamannya Tarim dan meninggal dunia di sana pada tahun 1165 H.Sementara Husain, sakit menimpa beliau, lalu beliau meninggal dunia kerana sakit.
. .Dzuriyat Imam Al-Haddad tersebar di serata dunia, baik di Hadramaut (tanah airnya) ataupun di negara lain, seperti Saudi Arabiya, Negara-negara teluk, Malaysia, Indonesia, Singapura, India, dll. Sebagaimana dikatakan bahawa : ALLAH  telah memberi keberkatan kepada Imam Al-Haddad melalui anak muridnya, anak keturunannya dan kitab-kitabnya. Semoga ALLAH  mengekalkan dan memelihara keberkatan ini pada kitab-kitab dan keturunannya, serta memelihara mereka untuk berjalan mengikut datuk mereka, dan menjadikan mereka sebaik-baik penerus kepada pendahulu mereka. Berkata Imam Al-Haddad:
“Kami akan berjalan di atas landasan dan garisan nabi Muhammad , dan landasan para salaf (pendahulu kami) sedaya upaya kami. Sungguh yang ternampak dari kami adalah penyebaran ilmu, bukan untuk menampakkan perkara yang lain”.
Firman Allah:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ
وَمَا أَلَتْنَاهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ
الطور:
٢١
Orang-orang yang beriman dan di ikuti oleh anak cucunya ( keturunannya) dengan keiamanan, Kami perhubungkan ( kumpulkan) kepada mereka anak cucunya itu, dan tidaklah kami kurangkan pahala amalan mereka sedikitpun, setiap manusia tergadai ( terikat) oleh usahanya masing-masing.


Guru-guru Imam Al Haddad




Gambar Kredit: Booncert

Telah dicatitkan bahawa, jumlah bilangan guru-guru Imam Al-Haddad melebihi 140 guru, beliau telah mengambil ilmu dan bertalaqi daripada mereka. Terutama sekali adalah: Habib Abdurrahman bin Shkeikh Maula ‘Aidid, Habib Omar bin Abdurrahman Al-‘Attas, Habib Sahl bin Muhammad Ba Hasan, Habib Aqil bin Abdurrahman bin Aqil Al-Seggaf, dan juga Habib Muhammad bin Alwi Al-Seggaf ( yg tinggal di Mekkah) dll.


Murid-murid Imam Al Haddad




Gambar Kredit: I love Typography

Murid-murid utama Imam Al Haddad adalah terdiri dari ahli keluarganya sendiri, terutama anak-anak beliau. Adapun dari selain ahli keluarga beliau mereka adalah: Habib Ahmad bin Zain Al Habshi, Habib Muhammad bin Zain bin Semait, Habib Omar bin Zain bin Semait, Habib Omar bin Abdurrahman Al Baar, Habib Abdurrahman bin Andullah Ba Al-Faqih, Habib Muhammad bin Omar bin Taha Al-Seggaf, dll.


Al-Hawi yang di berkati

Al-Hawi adalah sebuah kawasan yang berjiran dengan bandar Tarim, Imam Al Haddad menetap disana ( Al-Hawi) pada tahun 1099H. Syed Muhammad bin Ahmad Al-Syathiri –Sejarawan dari hadramaut- berkata : ”sesungguhnya Habib Abdullah Al-Haddad mendirikan Al-Hawi semata-mata untuk mempunyai tapak yang berdiri sendiri untuknya dan ahli keluarganya serta para pengikutnya, dan tidak tertakluk kepada pentadbiran Qadi Tarim pada masa itu. Ia merupakan tempat yang strategi untuk mendapatkan segala yang baik daripada Tarim, dan kawasan yang terlindung dari segala fitnah dan kejahatan dari tempat itu. Dengan demikian Al-Hawi menjadi kawasan yang selamat lagi dihormati.
Imam Al-Haddad membangun rumahnya di Al-Hawi pada tahun 1074H, lalu berpindah pada tahun 1099H. Beliau membangun masjidnya berhampiran dengan rumahnya, dan mengajar di sana selepas solat asar setiap hari, dan pagi hari kamis dan isnin, serta Hadrah pada setiap malam Jum’at selepas solat Isya’. Maka dengan pelbagai aktiviti, Al-Hawi menjadi tumpuan kepada para ulama’, dan orang-orang soleh, serta tempat perlindungan bagi kaum fakir miskin, dan merupakan zone selamat, aman, dan tenteram.


Haji dan Ziarahnya




Gambar Hiasan: Mekah pada satu masa dahulu. Gambar Kredit : Love Madina

Pada tahun 1079H, Imam Al-Haddad telah berangkat untuk menunaikan ibadah haji. Setelah sampai di Mekkah, ramai penduduk Mekkah yang menyambut kedatangan Imam Al-Haddad, dan beliau tinggal di rumah Sheikh Husain Ba Fadal, beliaulah yang melayan sendiri kepada Imam al Al-Haddad. Imam Al-Haddad menceritakan keberadaannya dirumah sheikh Husain Ba Fadal, beliau berkata:
“Sesungguhnya Sheikh Husain berkata: Aku mempunyai dua lautan di mana aku mengambil dari keduanya, yang pertama adalah lautan zahir, iaitu Sheikh Ahmad Al-Qusyasyi, yang kedua : lautan batin, iaitu Syed Muhammad bin Alwi Al-Seggaf. Dan ALLAH  telah mengumpulkan kedua lautan itu padamu untukku”.



Gambar Hiasan : Wukuf di arafah pada zaman dahulu . Gambar Kredit: Seri Kepayang

Pada tahun itu, wuquf di Arafah jatuh pada hari Jum’at, ramai penduduk Mekkah pada ketika itu yang datang kepadanya.
Ketika beliau sedang duduk di sebelah Hijir Isma’il beliau didatangi oleh Syarif Barakaat bin Muhammad, lalu meminta doa kepadanya agar permintaanya di kabulkan oleh Allah (tanpa memberitahu apakah hajatnya itu), maka Imam Al Haddad mendoakan untuknya. Ketika Syarif Barakaat pergi, Imam Al-Haddad bertanya : siapakah dia itu? Beliau diberitahu kalau dia adalah salah seorang besar di Mekkah. Lalu Imam Al-Haddad berkata: dia meminta untuk menjadi raja di Mekkah, dan ALLAH telah mengabulkan permintaanya. Syarif Barakaat di lantik menjadi pemimpin di Hijaz pada tahun 1082H.


Gambar Hiasan: Madinah AL Munawwarah pada satu masa dahulu. Gambar Kredit: 123Muslim


Pada hari Jum’at 1 Muharram 1080H, bertepatan dengan masuknya waktu solat fajar, Imam Al-Haddad telah di pelawa untuk menjadi Imam pada solat subuh di masjidil haram di Mekkah. Beliau membaca surah Al-Sajadah dan surat Al-Insan.

Imam Al-Haddad melangsungkan perjalanannya menuju kota Madinah Al Munawwarah. Telah diceritakan bahawa, beliau tidak tidur dalam perjalanan beliau menuju kota Madinah kecuali sedikit sekali, di sebabkan kerinduan yang mendalam di dalam hatinya. Beliau mengungkapkan akan kerinduannya itu dalam syairnya:

يَلذّ لَناَ أنْ لاَ يلذّ لنا الكَرَى # لمّا خَالطَ الأرْوَاحَ مِنْ خَالِص الْحُبِّ
Sungguh kami merasakan kenikmatan dimana kami tidak meraza nikmat dengan tidur, Ketika kemurnian cinta telah menyatu dengan ruh

Ketika beliau menghampiri kota Madinah, beliau dapat mencium bau wangi serta merasakan adanya cahaya yang bersinar. Beliau mengungkapkan dalam syairnya:

فلما بلغـنا طيـبة وربـوعهـا # شممنا شذى يزري بعرف العنابر
وأشرقت الأنوار من كل جانـب # ولاح السنا من خير كل المقابر
مع الفجر وصلنا وافينا المدينة طاب من # صباح علينا بالسعادة سافر


Ketika kami sampai di Thaibah (Madinah), kami mencium bau sangat wangi, mengalahkan wangian-wangian anbar
Cahaya menyinari segala penjuru, cahaya itu bersinar melalui kubur sebaik-baik manusia
Bersamaan dengan waktu fajar, kami sampai ke Madinah, sungguh indah pagi itu bagi kami dengan kebahagiaan

Beliau tinggal di rumah Syed Omar Ameen Al-Mahdali.




Buku-buku Imam Al Haddad




Gambar Kredit: JohoBaru

Keistimewaan karya-karya Imam Al-Haddad adalah mudah difahami oleh semua kalangan, mengikut kefahaman masing-masing. Sehingga buku-buku beliau telah dicetak beberapa kali dan sudah diterjemahkan kepada beberapa bahasa. Di antara karangan-karangan beliau adalah:


1. 10 رسالة المذاكرة
2. آداب سلوك المريد
3. اتحاف السائل بأجوبة المسائل
4. النصائح الدينية والوصايا الإيماني11
5. رسالة المعاونة والمظاهرة والمؤازرة12
6. سبيل الادكار والاعتبار بما يمرّ بالإنسان من الأعمار
7. الدعوةالتامة والتذكرة العامة
8. الفصول العلمية والأصول الحكمية
9. النفائس العلوية في المسائل الصوفية
10. الحكم 13
11.المكاتبات 14
12.تثبيت الفؤاد بذكر مجالس القطب عبد الله الحداد
13. الدر المنظوم لذوي العقول والفهوم



Kata-kata Hikmah Imam Al Haddad




Gambar Kredit: Windows2Universe

1. Orang yang tidur boleh di kejutkan, orang yang lalai boleh di ingatkan, barang siapa yang tiada bermanfaat untuknya bila dikejutkan atau diingatkan maka sesungguhnya dia itu adalah orang mati dan kamu tidak dapat memperdengarkan kepada orang yang sudah berada dalam kubur.
2. Kami tiada mendapati segala kebaikan melainkan berada dalam ilmu, kalau bukan kerana ilmu maka seorang hamba tidak kenal akan Tuhannya, dan tidak tahu bagaimana menyembah kepadaNYA.
3. Ketaatan yang shohih akan terpelihara dengan memelihara 3 dasar:
a. Cinta kepada Tuhan, iaitu dengan bertafakkur akan tanda-tanda kebesaran ALLAH, dan nikmat yang telah diberikan, serta membiasakan diri dalam berdzikir.
b. Meninggalkan semua yang menyibukkan dari mengingati ALLAH. Yang demikian itu dapat dicapai dengan meninggalkan segala dosa dan bercampur dengan manusia kecuali sebatas keperluan sahaja, iaitu apa-apa yang bila dilakukan akan mendatangkan pahala, dan bila di tinggalkan akan mendatangkan dosa.
c. Melazimkan diri berada di dalam apa-apa yang dapat mendekatkan diri kepadaNYA. Kesempurnaanya adalah meninggalkan segala yang haram, melakukan segala yang wajib, memperbanyak amalan yang sunnah.




Akhlak dan Budi Pekertinya

Imam Al-Haddad mempunyai akhlak dan budi pekerti yang luhur sebagaimana perkara itu menjadi pujian kepada Rasulullah . Firman Allah  :

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ
القلم: ٤
Dan sesungguhnya engkau ( Muhammad) mempunyai akhlakyang mulia.

Beliau suka memberi maaf kepada sesiapa yang bersalah, suka menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah kemungkaran, sebagai tanda meneladani penghulu seluruh manusia Rasulullah  yang telah bersabda:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن
كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
الأحزاب: ٢١
Sesungguhnya pada rasulullah ( Muhammad ) ada ikutan yang baik bagimu, yaitu bagi orang-orang yang yang mengharapkan ( pahala) Allah dan hari kemudian, serta dia banyak mengingati Allah.

Imam Al-Syili berkata (dalam kitab Al-Masyra’ Al-Rawiy) : Beliau (Imam Al-Haddad) mempunyai sifat lemah-lembut, pemaaf, membalas dengan kebaikan, tidak besifat pendendam, dan bersifat bersih hati kepada orang yang bersikap kasar kepadanya. Dengan demikian beliau menjadi contoh yang baik dalam perkataan dan perbuatannya, dan teladan yang agung dalam akhlak dan budi pekerti Rasulullah . Beliau mempunyai semangat yang tinggi keazaman yang kuat dalam berpegang teguh kepada agama. Beliau seorang yang bersifat pemurah, ringan dalam memberi, sangat menghormati tetamu. Beliau berkata:
“Sesungguhnya aku ingin berada dalam segala keadaan dimana tiada dalam perasaanku hasad dan dengki kepada seorangpun”.
Beliau seorang yang bersifat zuhud, dan tidak mengharapkan pemberian dari sesiapapun. Sesorang datang kepada Rasulullah , lalu berkata: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang bila aku lakukan, aku di cintai Allah dan di cintai manusia, Rasulullah  bersabda:

اِزْهَدْ فيِ الدُّنْيَا يُحِبُّكَ اللهُ وَازْهَدْ فِيْمَا فيِ أيْدِي النَّاسِ يُحِبُّوْكَ
Hidup dalam keadaan zuhud akan dunia, maka Allah sayang kepadamu, dan hidup dalam keadaan zuhud akan apa yang di miliki oleh manusia, maka manusia akan sayang kepadamu. ( ibnu Majah)

Imam Al-Haddad berkata: “Tiga perkara anugerah dari ALLAH  untuk kami: sedikit dalam kecederungan kepada dunia, sedikit dalam kepedulian kepadanya, dan sedikit dalam ketergantungan kepada manusia”.
Beliau juga berkata: “Harta kami dan apa yang kami miliki adalah untuk kami berikan kepada fakir miskin dan orang-yang memerlukan bantuan”.

Beliau seorang penyabar, mampu menahan marah, tidak mendendam, pemaaf akan kesalahan orang lain. Beliau berkata: “Adapun kesalahan-kesalahan keatas hak-hak kami kami sudah memaafkan, akan tetapi dosa-dosa keatas hak-hak ALLAH  maka kami tak dapat membiarkannya”.
Beliau juga pernah berkata: “Kami mendengar bahawa ada orang-orang yang makan makanan kami, akan tetapi mereka memaki kami di belakang, kami tidak tersentuh sedikitpun, dan kami tidak marah akan sikap mereka itu, bahkan kami mendoakan mereka .


Gambar Hiasan: The Yemeni ornamental knife - "Jambiya". Gambar Kredit: Dominic Sansoni

Beliau juga seorang penyantun kepada sesiapa yang tidak sopan kepaanya. Satu hari seorang ayah memberikan kepada anaknya sebilah pisau, lalu berkata: Bawalah pisau ini kepada Al-Haddad (tukang besi), dan katakan kepadanya: ayahku berpesan untuk kamu menajamkan pisau ini. Anak itu tidak mengetahui akan Al-Haddad (tukang besi) itu, yang dia tahu adalah Imam Abdullah yang bergelar Al-Haddad, maka anak itu datang membawa sebilah pisau kepada Imam Al-Haddad, sementara beliau sedang berada dalam majlis, lalu anak itu berkata: ayahku berpesan agar kamu menajamkan pisau ini. Maka Imam Al Haddad mengambil pisau itu, seraya berkata: datanglah kamu esok hari, kamu akan dapati pisau ini sudah diasah dan tajam. Anak itu pun pergi, dan Imam Al-haddad menyuruh salah seorang untuk membawa pisau itu kepada Al-haddad (tukang besi) untuk menajankannya. Oleh kerana yang demikian beliau di kenali sebagai Haddadul Quluub (penajam hati).

Ibadahnya

Sejarah menyebutkan bahawa Imam Al-Haddad tidak tidur di waktu malam untuk beribadah kecuali sedikit sahaja. Yang demikian itu adalah untuk meneladani amalan Rasulullah  yang di perintahkan oleh ALLAH untuk tidak tidur di waktu malam kecuali sedikit sahaja. Firman ALLAH  :


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡمُزَّمِّلُ قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلاً۬

المزمل: ١ – ٢

Wahai orang yang berselimut ! bangunlah ( untuk solat) pada malam hari kecuali sedikit sahaja.


ALLAH juga telah memuji mereka yang menghidupkan malam dengan ibadah kepadaNya. Firman ALLAH  :

كَانُواْ قَلِيلاً۬ مِّنَ ٱلَّيۡلِ مَا يَہۡجَعُونَ
الذّاریَات : ١٧
Adalah mereka itu sedikit tidur pada malam hari. Dan ketika waktu sahur mereka meminta ampun.
Imam Al-Haddad berkata: "Kami telah melaksanakan segala sunnah Nabi , dan tiada satu sunnah yang kami tinggalkan”. Sebagai membenarkan akan ucapannya itu, beliau – pada akhir umurnya- memanjangkan rambutnya sehingga bahunya, kerana rambut Rasulullah  adalah demikian.




Kewafatannya



Gambar Kredit: Baqavi

Imam Al-Haddad meninggal dunia pada hari selasa 7 Dzul qi’dah 1132 H. putranya yang bernama Hasan yang merawat beliau ketika sakit. Habib Hasan menceritakan bahawa: Sesungguhnya Imam Al-Haddad dalam sakitnya banyak mengulangi hadis yang terakhir dalam Shahih Al-Bukhari, yaitu:


كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ
ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ


Dua kalimat ringan dilisan, berat di timbangan, di senangi oleh Yang maha Pengasih:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ
سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Beliau meninggal dunia pada 1/3 malam yang pertama, tak seorang pun yang mengetahui berita kewafatannya kecuali di waktu pagi. Keadaan menjadi sangat memilukan ramai pengikutnya. Berduyun-duyun manusia datang untuk menghadiri pengebumiannya.

Habib Hasan – putranya- dan Habib Omar bin Hamid adalah orang yang menangani pemandiannya. Solat jenazah diimamkan oleh Habib Alwi – putranya- , dan di hadiri oleh lebih kurang dua puluh ribu (20,000) orang. Beliau di kebumikan bersamaan dengan terbenamnya matahari, oleh kerana terlalu ramai manusia yang mengahdiri jenazahnya.

Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmatNYA ke atas Imam Al-Haddad, mengangkat derajatnya, memberikan keberkatan akan peninggalan-peninggalannya. Amein.


Pujian-pujian Ulama’ kepada Imam Al Haddad


Gambar Kredit : Ted Chang

Ramai ulama’-ulama’ yang memuji kepada imam Al-Haddad kerana kedudukannya, baik para ulama’ yang hidup di era beliau atau setelahnya.

Diantara pujian ulama’ di zaman Imam Al-Haddad adalah Salah seoarang guru beliau, yaitu Habib Abdurrahman bin Sheikh Maula ‘Aidid berkata bila menyambut kedatangan Imam Al-Haddad:

“ مرحبا بسيّد الجماعة” (Selamat datang wahai penghulu kepada sekalian jema’ah). Terkadang menyebut: “ شيخ القبيلة” (Ketua kabilah atau kepala suku), sebagai satu sebutan yang mengandungi penghormatan serta pujian.

Habib Omar bin Abdurrahman Al-Attas berkata: “Seorang Syed Abdullah Al-Haddad adalah merupakan satu Ummah”.

Di riwayatkan bahawa Mufti negeri Syam di zaman Imam Al-Haddad berkata: “Tiada diatas muka bumi di zaman ini yang lebih ‘alim daripada Abdullah Al-Haddad”.

Murid terulung Imam Al-Haddad yaitu Habib Ahmad bin Zain Al-Habsyi berkata: "Sesungguhnya Imam Al-Haddad telah sampai kedudukan mujtahid (yang layak member ijtihad) dalam ilmu-ilmu islam, iman, dan ehsan. Beliau adalah seorang Mujaddid (pembaharu) ilmu-ilmu ini di zaman ini”.

Adapun pujian para ulama’ setelah Imam Al-Haddad seperti Habib Ali bin Muhammad bin Husin Al-Habsyi:


بالفــتح والإرشـاد والإمــداد *** ثبتت قواعـد شيـخنا الحـداد
مستجمع السر الذي اتصـفت بـه *** أســـلافه وخليفة الأجـداد
فجمــيع من سلك الـطريقة بعده *** مستصـبحون بنـوره الوقـاد

Dengan futuuh (di bukakan pintu-pintu ilmu), Irsyad ( petunjuk), dan Imdad (kelebihan) adalah tonggak utama akan kaedah-kaedah guru kami Imam Al-haddad
kepada beliau telah terkumpul rahasia dan sifat mulia para salaf, maka beliau adalah khalifah kepada mereka semua yang berjalan dalam jalan mulia ini setelah beliau, telah mengambil dari sinaran ilmu beliau yang sangat terang

Habib Muhammad bin Ahmad Al-Syathiri ( semoga Allah merahmatinya) berkata: “Sangat jarang sekali buku-buku di zaman Imam Al Haddad yang tersebar sepertimana tersebarnya tulisan-tulisan dan karangan-karangan Imam Al-Haddad. Karya-karya beliau telah dicetak berulang kali, dan telah di terjemahkan de dalam beberapa bahasa, dan ramai yang telah mengambil manfaat darinya".

Almarhum Sheikh Hasanain Makhluf ( bekas mufti Mesir) berkata mengenai karya Imam Al-Haddad “النصائح الدينية” : “Sesungguhnya beliau (Imam Al Haddad) seorang penulis yang sangat jelas urainnya, tinggi tata bahasanya, teliti pembahsannya di dalam mneyebutkan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadits-hadits Nabi, serta kata-kata para ulama’, sehingga dapat menghilangkan prasangka dan keraguan didalam hati dan jiwa daripada segala kesamaran, serta dapat menjadi penawar kepada segala permasalahan, sehingga tidak memberi ruang kepada pembicara untuk berbicara, dan tidak ada jawaban lagi bagi orang yang bertanya”.

Dr. Mustafa Al-Badawi telah menulis kitab tentang Imam Al-Haddad bertajuk
 “الإمام الحداد مجدد القرن الثاني عشر” (Imam Al-Haddad pembaharu abad ke 12). Penulis memetik sebuah hadits Rasulullah SAW yang riwayatkan oleh Abu Dawud:

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
Sesungguhnya Allah akan mengutus untuk Ummat ini pada setiap seratus tahun seseorang yang memperbaharui agama ini untuk mereka.

[1] Orang pertama yang bergelar Al-Haddad
[2] Bapak Saudara Al-Faqih Al- Muqaddam Muhammad bin Ali
[3] Sohib Mirbath ( yang tinggal di Mirbath- Oman)
[4] Khali’Qasam
[5] Kepada beliau nisbah keluarga Ba’alawi atau dikenal dengan sebutan Alawiyyin.
[6] Al-Muhajir ( berhijrah) bergelar gelaran itu kerana beliau berhirah dari irak ke Hadramaut dan menurunkan dzuryzt di sana.
[7] Al-Roomi
[8] Al-Naqib
[9] Al-‘uraidhi ( nama kawasan berhampiran dengan kota Madinah)
[10] Buku ini adalah buku pertama yang di tulis oleh Imam Al Haddad
[11] Imam Al-Haddad berkata: telah berkata sebahagian Ulama’ Al Haramain ketika membaca tulisan ini ( النصائح الدينية) : Buku ini adalah kandungannya sama dengan kitab Ihya’. Imam Al Haddad menjawab: Benar apa yang kamu katakan.
[12] . buk di tulis untuk memenuhi permintaan Habib Ahmad bin Hasyim, ketika meminta wasiat kepada Imam Al Haddad.
[13] . kandungan buku ini adalah kumpulan kata-kata hikmah. Buku ini telah di syarahkan oleh Al-Muhaddits Muhammad Hayah Al-Sanadi Al-Madani.
[14] Kumpulan surat-menyurat Imam Al Haddad kepada saudara-saudaranya, dan juga anak muridnya, dan nasehat-nasihat kepada sultan-sultan pada ketika itu.


Artikel di karang oleh Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid


Sumber : http://www.darulmurtadza.com/2011/12/riwayat-hidup-imam-abdullah-bin-alwi-al.html

Tidak ada komentar :

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Google+ Followers

Mengenai Saya

Foto Saya

Kami Adalah Manusia Yang di Lahirkan Dalam Keadaan islam Dan mengharaf Ridha allah dan Syafa'at Rasulullah Saw, Di matikan Dalam Keadaan ISLAM, IMAN,DAN IHSAN.